top of page

PPCK dapat pusat aktiviti

TANAH MERAH - Persatuan Peranakan Cina Kelantan (PPCK) menerima berita gembira apabila penaung persatuan itu, Yeap Boon Yang menyerahkan sebuah rumah lama miliknya di Jalan Wan Ahmad, dekat sini, untuk dijadikan rumah galeri PPCK.

 

   Pengumuman untuk menyerahkan rumah lama yang masih mengekalkan ciri seni bina dan pertukangan lama Cina itu dibuat Boon Yang pada mesyuarat agung persatuan berkenaan di Dewan Terbuka Keng Choo Temple, dekat Kampung Jelatok.

   Pengerusi PPCK, Lim Kam Hong berkata, rumah itu akan dijadikan tempat mesyuarat dan pusat aktiviti dalam usaha persatuan berkenaan meningkatkan kesedaran anak muda Cina tentang sejarah kewujudan mereka di negeri ini.

   "Walaupun sudah berusia hampir satu abad, rumah yang pernah menjadi kediaman beliau (Boon Yang) ini masih mengekalkan seni bina pertukangan Cina lama, selari dengan sejarah kewujudan masyarakat peranakan Cina di negeri ini", katanya.

   Sempena pengumuman itu, Boon Yang menyerahkan gambar rumah lama berkenaan kepada Kam Hong sebagai simbolik penyerahan. Hadir sama Pengerusi Perniagaan Cina Kelantan, Oie Poh Choon.

   Menurut Kam Hong, rumah itu juga akan dijadikan tempat simpanan barangan dan artifak masyarakat peranakan Cina Kelantan untuk tatapan umum khususnya generasi akan datang.

   "Mewakili anggota persatuan dan masyarakat peranakan Cina Kelantan, saya ucapkan terima kasih kepada Penaung PPCK (Boon Yang) atas sumbangan rumah ini dan kami akan berusaha memenuhi hasrat beliau supaya rumah ini digunakan sebaik mungkin", katanya.

 

Sumber Media: Sinar Harian, 4 Mei 2015 (Isnin)

bottom of page