top of page

Uniknya Cina Peranakan Kelantan

Nama Melayu, makan budu, pelihara beruk, cara hidup mirip masyarakat Melayu berkain batik dan fasih loghat negeri
 
Oleh: Habsah Ismail

 

Yang selalu diceritakan orang adalah mengenai Cina Peranakan dari Melaka yang digelar Baba dan Nyonya. Tidak banyak pendedahan mengenai etnik ini yang berciri-ciri kemelayuan mereka mungkin lebih ketara berbanding Peranakan Melaka. Masakan tidak, jika nama mereka sendiri pun Mek dan Awang yang cukup sinonim sebagai panggilan mesra masyarakat Melayu.

 

Bahkan ada yang nama Melayu itu tertera dalam kad pengenalan mereka.

 

“Saya seorang daripada yang guna nama Melayu dalam kad pengenalan,” kata Presiden Persatuan Peranakan Cina Kelantan, Law Awang.

 

Berusia 65 tahun, Awang anak jati Wakaf Stan, Kubang Kerian. Tambah menarik apabila Awang menceritakan dua lagi adik-beradiknya diberikan nama Melayu.

“Kakak sulung ambo, Mek Nga. Sore (seorang) lagi kakak, Mek saja,” katanya.

 

Awang mengaku, menggunakan nama Melayu tidak memberi masalah kepada dirinya sebagai seorang Cina.

 

“Ambo bangga sebenarnyo. Ini keunike (keunikan) kito sebagai Cino Peranake dari negeri Kelate hok tak dok (tidak ada) di negeri lain,” katanya.

 

Selain elemen Melayu dalam nama etnik Cina Peranakan Kelantan, terdapat juga pengaruh Thailand atau Siam dalam nama mereka.

 

Bagaimanapun pengenalan ‘she’ atau nama keluarga tidak digugurkan. Sebagai contoh, Law Awang, Awang adalah namanya atau nama individu, manakala Law pula adalah nama keluarga atau ‘seh'. Ada juga daripada ‘seh’ atau keturunan lain menggunakan Awang sebagai nama individu seperti Gan Awang, dan Chan Awang.

 

Chan Awang, 66, ketika dikunjungi di rumahnya di Kampung Sering, Kedai Lalat, Kota Bharu, menyambut kehadiran wartawan Sinar Harian mengikut adab dan adat orang Melayu tempatan.

 

“Oh, naiklah ke rumoh ambo ni...rumoh lamo. Moyang ambo buat rumoh ni. Lamo doh...lebih dua ratuh (ratus) tahun doh ni,” katanya dengan mesra.

 

Rumah Awang, sama seperti kebanyakan rumah etnik Peranakan Cina dibina mengikut seni bina tradisional Melayu. Bertiang dan dilengkapi serambi.

 

“Senang sikit kito nok bual. Lelaki berkain pelikat petak ungu tu kemudian memberitahu, rumah tersebut daripada kayu cengal. Sebab tu tahan,” katanya.

 

Bercerita mengenai nama ‘Melayunya’, Awang berkata, nama itu diberikan oleh mendiang bapanya, Chan Gim Tiong sebulan selepas dia dilahirkan. Selain nama Melayu, Awang juga mempunyai nama Cina, Chan Beng Siong yang diberikan oleh rakannya semasa dia membuat kad pengenalan ketika berusia 12 tahun.

 

“Ayoh ambo duduk dale (dalam) persekitare (persekitaran) ore Melayu. Jadi, kami terikut dengan adat budaya ore Melayu sapa (sampai) ke namo pun diberi ikut nama Melayu, namo hok mudoh-mudoh... klu jate (lelaki) ka, Awe, hok tino (perempuan), Mek, gitulah,” katanya.

 

Awang memberitahu, biasa bagi generasi yang seusia dengannya, lepas beberapa lama, kadang kala hingga sebulan selepas lahir barulah didaftar untuk dikeluarkan surat beranak atau sijil kelahiran.

 

“Daftar denge tok penggawa atau polih (polis),” katanya.

 

Selain nama Melayu, Cina Peranakan Kelantan turut dipengaruhi elemen Thailand dalam menamakan anak-anak mereka. Isteri Awang bernama Eh Mek. Jika Mek daripada Melayu, Eh pula adalah nama Thailand.

 

Mek, 66, memakai kain batik lepas hari itu, sama seperti kebanyakan makcik-makcik Melayu kampung bersantai pada waktu petang.

 

Satu lagi keunikan Cina Peranakan Kelantan, jika sekalipun nama mereka Cina tetapi bunyi sebutannya mirip kemelayuan, orang itu langsung akan disapa atau dikenali dengan nama Melayu. Contohnya, Cheng San dipanggil Che San atau Che Hassan.

 

Menurut Awang, dia adalah generasi keenam yang mewarisi rumah peninggalan moyangnya.

 

“Mengikut cerita nenek moyang ambo, ore Cino masuk ke Kelate sejak ratusan tahun malah orang dulu pernah berkahwin dengan ore Sie (Siam) tepate (tempatan).

 

“Keluarga ambo berasal dari Kampung Bekelam, Bachok. Rumah kami di tepi sunga (sungai) dan meme Cino Peranake tinggal di sepanje Sungai Kelate bermula di Sungai Pine (Pinang, Tumpat) hingga di Gua Muse (Musang) sepanje Sungai Kelate. Jeme (zaman) dulu, nenek moye (moyang) kami cari make (makan) denge berkebun dan buat kerijo (mengerjakan) sawah, bercucuk tane dan ada juga jadi buruh binae (binaan). Ado juok hok cari make dari sunga (sungai),” kata Awang.

 

Mengikut cerita sejarah, generasi awal Cina Peranakan ramai yang bekerja melombong emas di Kilu Kirai atau Kuala Krai di hulu Sungai Kelantan. Kerana itu, Pulai, satu mukim di Gua Musang sampai sekarang jadi penempatan Cina Peranakan Kelantan sejak generasi pertama.

 

Kebanyakan rumah komuniti Peranakan mirip dari segi reka bentuk dan senibina rumah tradisional Melayu dan Thailand.

 

“Kalau ada perbezaan pun pada bumbungnya (bumbung diperbuat dari bata dan rumah Peranakan sedikit lentik) atau tulisan Cina (Lian) di pintu-pintunya.

 

“Rumah Cino Peranake dulu di tepi sungai. Kena ada tangga dan tie (tiang) sebab banjir kena bina rumah agak tinggi sedikit, lagipun kami dulu pelihara ayam, itik dan kambing di bawah rumah,” kata Chan Awang.

 

Siapa Cina Kelate?

 

“Dia boleh kecek (cakap) loghat Kelate denge pasih. Berkomunikasi sesama sendiri dale bahaso Melayu Kelate tetapi... dia tetap Cina. Apa hok menarik, Cino Peranake ni suko paka (pakai) kain pelikat hok jatenya (lelaki) manakalo hok tino, paka kain batik. Make (makan) denge tange (tangan), tok (tak) paka chopstik, make bersilo supo ore Melayu. Lagi... make nasik, mesti ado ule (ulam), ado budu,” kata Law Awang.

 

Ujarnya, budaya Cina Peranakan amalkan dalam kehidupan harian adalah campuran budaya Melayu dan Siam, mereka jadikannya identiti dan bangga bawa identiti campuran itu.

 

“Ore Melayu dan Sie (Siam) di Kelantan kata, Cino Peranake ni buke Cino, Sie pun buke, Melayu buke. Kami Cino Peranake, ginilah rupo dan cara hidup kami,” katanya.

 

Bagi orang luar yang pertama kali bertembung atau masuk ke kampung Cina Peranakan di negeri ini, pasti mereka keliru untuk mengenali siapa sebenarnya kelompok masyarakat yang sangat unik ini.

 

Pakai pelikat, sarung batik

 

“Ore kami suko paka (pakai) kain sarung, kain pelikat dan batik lepas. Kadang-kadang tak berbaju, hanya berkain sarung dengan semutar (kain lepas dililit di kepala) ketika menziarahi tetangga atau bersantai di rumah, serupa denge ore Melayu hok dok di kapung.

 

“Ore tino kami, biasa berkembe (berkemban) dan berkelubung kain lepas termasuk ketika menziarahi tetangga dekat. Di rumoh, demo berkembe saja,” katanya.

 

Menurut Chan Awang, kain pelihat yang dipakai lelaki Cina Peranakan, sama seperti yang diguna orang Melayu. Jenama yang popular katanya Cap Kuda. Turut jadi pilihan mereka Cap Ayam Serama, Gajah Duduk dan Mangga.

 

“Ore tino kami dulu tak paka kain batik biasa. Demo paka batik Jawa. Selai (sehelai) pun kure-kure 50 Riyal (RM). Mek (ibu) ambo masa meninggal tak kure dari 80 la (helai) kain batik dio ado. Habih ambo sedeak ke saing-saing Melayu ambo,” katanya.

 

Cakap loghat Kelantan

 

Mereka bertutur dalam loghat Melayu Kelantan satu sama lain, walaupun dengan ibu bapa, sama ada di majlis keramaian atau pun perbualan biasa.

 

“Hidup hariye (harian) kami sudah sebati denge cara hidup ore Melayu. Tidok ada hok luar biaso atau janggal bagi kami untuk berkecek dale baso (bahasa) Melayu Kelate. Haa.. kalu tak kecek Melayu, tu baru jadi luar biaso,” kata Law Awang.

 

Menurutnya, kalaupun ada sesetengahnya terutama generasi muda yang menggunakan bahasa Hokkien dalam pertuturan sesama mereka, masih banyak istilah daripada bahasa Melayu, juga Thailand yang digunakan.

 

Cina bela beruk?

 

Di negeri lain, pasti itu suatu perkara yang sangat pelik. Tetapi di Kelantan, bela beruk antara hobi yang popular bagi Cina Peranakan. Chan Awang sendiri pernah bela beruk, juga burung tekukur. Mengagah tekukur antara kesukaan lelaki itu setiap hari.

 

“Dulu ambo pero (pelihara) beruk ambil upah panjat nyo (kelapa), tetapi beruk ambo doh jual. Ambo tok sey (boleh) lagi buat kerja tu, tak berapo sihat doh sekare,” katanya.

“Ambo ore kapung, idup caro kapung... piano main denge burung tekukur jadi hibure untuk ambo isi maso lape (lapang),” katanya.

 

Chan Awang dan Mek ada dua anak. Seorang menetap di Tokyo, Jepun setelah bertemu jodoh dengan orang Negara Matahari Terbit manakala seorang lagi tinggal di Ibu Kota.

 

Memproses, jual budu tempayan

 

Bukan setakat makan budu, apa yang menarik pada pasangan suami isteri Cina Peranakan ini, mereka memproses budu tempayan di halaman rumah.

 

“Kami sudah lama buat budu, supo (serupo) mace hok ore Melayu buat jogok. Kami guno ike bilih, gare (garam) dan asam gelugur. Ney (enam) bule (bule) kali perak ike dale tepaye (tempayan), baru tubik rasa hanyir, hok gotu (macam itu) baru sedap,” katanya.

 

“Ike bilih kami beli di Pengkalan Petah, Bachok. Budu hok kami jual ni dapat dibeli ore Cino dari kawasan ini sapa (sampai) ke Tumpat,” kata Mek.

 

Makan babi?

 

Law Awang berkata, dia makan daging babi sebagaimana kebanyakan orang Cina tetapi adik beradiknya tidak.

 

“Kakak-kakak ambo make sayur (vegetarian). Mek ayoh ambo pun make sayur,” ujarnya.

 

Tentukan banjir ikut Hari Buah Mulung

 

Menarik cerita Mek, tarikh datangnya bah atau banjir boleh ditentukan mengikut satu kepercayaan masyarakat Cina Peranakan yang dipanggil Hari Buah Mulung atau Tan Chit.

 

“Ore kami rama (ramai) berumoh di tepi sunga. Tiap tahun, bah mari...jadi ka, kalu kito nok tahu bilo bah mari, kheno (kena) make (makan) buah mulung denge pacak hari iaitu pada 22 hari bule 12 (Disember). Make 10 hari sebelum dan 10 hari selepas 22 hari bule 12. Kesudahenyo, kalau 10 hari lepas tu tak jadi bah, maknanya tahun tu bah takkde (takkan) jadi di Kelate,” ujar Mek.

 

Menurutnya, itu kepercayaan orang dulu tetapi sekarang, buah mulung dibuat, dijual dan dimakan tak kira masa. Sebab itu, penentuan banjir tidak lagi sesuai dilakukan.

 

Selain itu, buah mulung diberikan kepada pengantin pada hari perkahwinan.

 

“Jika mereka sudah berkahwin atau sudah bergelar janda, kita tidak beri makan buah mulung,” katanya.

 

Sedikit jurang dengan Melayu

 

Chan Awang berkata, semua yang diceritakan adalah kisah silam mereka bersama orang Melayu, namun sekarang ia seolah-olah ada jurang apabila ada unsur politik dan dakwah dicampuradukkan.

 

“Dulu kami ‘pergi-mari’ (bersama-sama) orang Melayu bina wakaf, mengusung rumah (jika rumah itu hendak dipindahkan) atau dalam pertanian serta ketika kenduri. Kalau ada musibah, kami bergotong-royong selesaikannya.

 

“Sekare (sekarang) tak supo (serupa) dulu. Sekare hubunge dah rengge (renggang) sedikit bilo unsur politik dan dakwah mulo masuk dalam masyarakat kami, tetapi kami percaya, jika kena caranya, ia boleh dipulihkan semula,” katanya.

 

Minat budaya tradisional

 

Kefasihan Cina Peranakan dalam loghat Melayu Kelantan terserlah apabila ada dalam kalangan mereka bermain wayang kulit, sama seperti orang Melayu.

 

“Cino Peranake sepo ore Melayu. Apo hok ore Melayu suko, kito pun suko supo Mak Yong, menora, gasing, rebana, kertuk jugo woye (wayang) kulit.

 

“Buke tengok saja, kami jugo bermain seruna (serunai) jadi dale (dalang). Semuo kami buat sendiri supo ore Melayu dan ore Sie. Kami buat semuo ni untuk bayar niat pun ado,” katanya.

 

Sumber Media: Sinar Harian, 17 Ogos 2015 (Isnin)

bottom of page