PERSATUAN PERANAKAN CINA KELANTAN (PPCK)
Laman Web Rasmi
Kelantan Peranakan Chinese Association
Komuniti Cina masak bubur asyura
MACHANG-Komuniti Cina di Joh dekat sini, sepakat memasak dua kawah bubur asyura secara bergotong-royong sebagai memanfaatkan cuti perayaan Deepavali, semalam.
Penganjurnya, Tan Chu Lam berkata, cadangan memasak bubur tersebut merupakan idea spontan dalam usaha mengeratkan hubungan kira-kira 70 keluarga Cina di kawasan itu.
Katanya, mereka melakukannya sendiri berdasarkan pengalaman ketika memasak bersama orang Melayu di kampung itu.
"Lagipun ramuannya disiapkan sepenuhnya oleh penjual, jadi kami hanya perlu masak dan masukkan ramuannya sahaja."
"Bubur asyura ini bukan hanya digemari orang Melayu tetapi disukai kaum Cina di sini kerana ia sudah sebati dengan hidup kami. Kami makan bubur ini sejak kecil jadi tiada yang pelik."
"Cuma bezanya, kali ini kami memasak sendiri berbanding bersama-sama orang Melayu sebelum ini," katanya.
Ditanya resipi istimewa bubur asyura tersebut, Chu Lam berkata mereka menggunakan resipi sama dengan orang Melayu kerana inginkan rasa yang serupa.
Katanya, sebelum ini ada kaum Cina masak bubur asyura di rumah, tidak melibatkan ramai orang dan di peringkat keluarga sahaja.
Tambahnya, bubur itu akan diagihkan kepada semua keluarga Cina di kampung tersebut dalam usaha mengukuhkan hubungan.
Sumber Media: Sinar Harian, 11 November 2015 (Rabu)