PERSATUAN PERANAKAN CINA KELANTAN (PPCK)
Laman Web Rasmi
Kelantan Peranakan Chinese Association
PPCK kukuh hubungan antara kaum
Anjur kem motivasi libat remaja Cina dan Siam Kelantan, cungkil potensi peserta
MACHANG-Biarpun tergolong dalam komuniti minoriti di negeri ini, masyarakat Cina Peranakan mempunyai hubungan erat antara satu sama lain dan sentiasa mengukuhkan persaudaraan sekalipun tinggal di kawasan berbeza.
Pengerusi Persatuan Peranakan Cina Kelantan (PPCK), Lim Kham Hong berkata, lebih dikenali sebagai Cina Kampung, masyarakat Cina Peranakan juga mempunyai hubungan baik dengan kaum lain dan menjalani kehidupan sama seperti masyarakat Melayu.
Katanya, pelbagai program dan pendekatan dilaksanakan pihaknya dalam usaha mengukuhkan hubungan baik tersebut termasuk menganjurkan program dengan mengumpulkan masyarakat Cina Peranakan di seluruh negara.
Tambahnya, program itu merangkumi pelbagai peringkat umur dan lapisan masyarakat, bersesuaian keperluan semasa.
“Baru-baru ini kami menganjurkan Kem Motivasi Remaja 2016 di Putera Valley Resort & Training Centre dengan melibatkan lebih 100 golongan muda di bawah PPCK. Program itu bertujuan mengukuhkan hubungan persaudaraan sekali gus mencungkil potensi anak-anak muda.
“Setelah sekian lama tidak menganjurkan program tradisi ini kerana beberapa kekangan, kami kembali melaksanakannya dengan sokongan pelbagai pihak dan ia menunjukkan hasil yang memberangsangkan,” katanya.
Majlis perasmian program tiga hari itu disempurnakan Pengerusi Gerakan Kelantan, Datuk Senator Ng Chiang Chin.
Sementara itu, Pengerusi Kem Motivasi Remaja 2016, Dr. Wee Seng Kew berkata, pada program itu, peserta diberi pendedahan dalam pelbagai aspek yang bukan sahaja mengukuhkan hubungan baik, tetapi juga meningkatkan semangat juang dan yakin diri generasi muda.
Katanya, program berkenaan mendapat kerjasama mahasiswa Kelantan daripada institusi pengajian tinggi tempatan sebagai fasilitator.
Tambahnya, program itu melibatkan remaja Cina dan Siam Kelantan berumur 15 tahun ke atas dari dalam dan luar Kelantan dengan pelbagai aktiviti termasuk akademik, kecergasan, kaunseling dan kerjaya, kemahiran dan persembahan bakat.
“Program ini merupakan aktiviti tahunan namun dihentikan buat sementara waktu dan diadakan semula pada tahun ini dengan tujuan memupuk motivasi diri yang tinggi di kalangan peserta, memberi kesedaran tentang kepentingan ilmu dan menyemai semangat cintakan bangsa dan negara.
“Dalam masa sama, ia bertujuan mengumpulkan golongan muda dalam kalangan Cina Peranakan bagi memupuk semangat persaudaraan antara satu sama lain,” katanya.
​
Sumber Media: Sinar Harian, 14 Julai 2016 (Khamis)
​
​