top of page

Galeri Komuniti Peranakan Cina Kelantan diwujudkan

Oleh: Zuraidah Mohamed
 
JOHOR BAHRU: Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan menjalankan kajian penyelidikan bagi menghasilkan kandungan pameran bagi Galeri Komuniti Peranakan Cina Kelantan (PPCK) yang pertama di negara ini.
​

   Susulan itu, perjanjian kerjasama dimeterai antara kedua-dua pihak antara lain PPCK akan menyalurkan geran penyelidikan RM50,000 bagi membolehkan kajian dijalankan sekali gus galeri yang terletak di Tanah Merah, Kelantan itu dibangunkan.

   Dekan Penyelidikan Bersekutu (Pembinaan) UTM, Prof Dr Muhd Zaimi Abdul Majid, berkata kajian itu akan dimulakan bulan ini dan dijangka mengambil masa selama dua tahun bagi menghimpunkan galeri berkaitan masyarakat Peranakan Cina di Kelantan.

   Katanya, galeri yang dijangkakan siap pada 2018 itu bakal mempamerkan budaya dan warisan Peranakan Cina Kelantan, yang sering dikaitkan dengan keunikan budaya campuran Melayu Kelantan, Cina Hokkien dan Siam.

   "UTM akan membantu PPCK membangunkan galeri berkenaan bagi mendaulatkan kebudayaan masyarakat Cina di Kelantan. Penghasilan galeri ini amat penting sebagai platform untuk generasi muda dan orang ramai untuk menghayati nilai budaya campuran yang terhasil dari proses adaptasi budaya dan penyelarasan identiti. "

   Bagaimanapun, setakat ini pihak KALAM sudah menghimpunkan 19 galeri berkaitan seni bina rumah masyarakat peranakan Cina di negeri itu," katanya pada sidang media selepas memeterai perjanjian persefahaman (MoU) antara KALAM dan PPCK di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim UTM di sini, hari ini.

   Pada majlis itu, Muhd Zaimi mewakili KALAM manakala PPCK oleh Pengerusinya, Lim Kham Hong. Yang hadir sama, Pengarah KALAM di Fakulti Alam Bina, Prof Madya Dr Raja Nafidah Raja Shahminan.

   Perjanjian selama lima tahun itu membabitkan kerjasama dalam lima bidang utama iaitu pendidikan dan penyelidikan, geran penyelidikan dan biasiswa, pemindahan ilmu dan perkhidmatan masyarakat serta pertukaran maklumat.

​

Sumber Media: Berita Harian Online, 13 November 2016 (Ahad)

​

​

bottom of page