top of page

Buku Peranakan Cina Kelantan

Oleh: Siti Fatihah Awang
 
KOTA BHARU: Sebuah buku bertajuk Peranakan Cina Kelantan: Sintesis Cina Tanah Besar dan Melayu Tanah Melayu yang mendokumentasikan warisan kaum peranakan Cina negeri ini telah dilancarkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, di sini semalam.
​

   Buku  hasil kajian dan tulisan Zinitulniza Abdul Kadir itu juga turut mengisahkan mengenai kelangsungan hidup masyarakat Cina kampung dan proses asimilasi dua budaya di negeri ini sejak 300 tahun dahulu.

   Ahmad Yakob ketika menyampaikan ucapan pelancaran berkata, penulisan ini merupakan sesuatu yang amat berharga dan bernilai kepada warisan negara.

   “Kita berharap akan ada lagi pelbagai kajian dan penulisan sebegini di Kelantan selepas ini bagi memastikan amanah ini digalas sebagai satu tanggungjawab sosial untuk pelihara warisan kita dan secara tidak langsung membina penyatuan dan memahami perbezaan kaum antara satu sama lain.

   “Malah nilai sejarah perlu dijaga sebaik mungkin kerana kita risau, semakin lama ia semakin pupus dan mungkin tiada pewaris. Terima kasih kepada penulis yang telah mendokumentasikan pelbagai maklumat menarik dalam buku ini,” katanya.

   Buku tersebut merupakan terbitan bersama kerajaan negeri, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan MINSTRA.

   Menurut Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Mohd Khair Ngadiron, keluaran pertama buku tersebut adalah sebanyak 3,000 naskah dan kini sudah terjual sebanyak 2,200 naskah.

   “Sambutan diterima amat menggalakkan dan kami berharap ia boleh dijadikan rujukan kepada pengkaji-pengkaji warisan selepas ini. 

   “Kita sekarang ini dalam proses menterjemahkan buku ini ke Bahasa Inggeris dan Mandarin dan kalau boleh buku ini dihantar ke seluruh perpustakaan seluruh negara,” katanya.

   Sementara itu, Zinitulniza ketika ditemui turut berkongsi usaha dan pengalamannya selama lebih enam bulan dalam proses pencarian bahan dan menulis buku tersebut.

   “Kami turun ke Pasir Parit untuk rasa sendiri, lihat dan mengkaji dengan bantuan masyarakat di sana. Apa yang paling unik dalam kaum ini ialah bahasa. Mereka bukan sahaja guna Bahasa Melayu apabila bercakap antara Cina dan kaum lain, tetapi sesama mereka sendiri.

   “Kalau kita menumpukan kepada jati diri kita sendiri, bila kita sesama kita, kita akan cakap Bahasa Melayu. Tetapi mereka menggunakan Bahasa Melayu, lihat sejauh mana mereka menerima budaya Melayu dalam kehidupan mereka. Mereka tidak ambil elemen budaya kita sebagai sesuatu yang negatif,” katanya.

   Beliau berkata, sikap menghormati budaya masyarakat lain semakin pupus di tempat lain namun tidak di sini dan ia seharusnya dikekalkan, sebagaimana seni bina yang ada kerana ia tidak wujud di mana-mana tempat di seluruh dunia.

   “Cuma di Kelantan sahaja ada. Mereka membawa seni bina asal dari Cina ke Tanah Melayu dan kemudiannya dicantumkan dengan seni bina Melayu. Sampaikan profesor-profesor di China sendiri pun terkejut bagaimana konsep asal itu boleh dicantumkan sebegini rupa.

   “Maka kami amat berharap dan merayu supaya dengan adanya buku ini akan ada pihak tampil untuk menyambung memulihara budaya peranakan Cina Kelantan ini terutamanya seni bina itu. Mungkin ia boleh dikemukakan kepada pihak Unesco supaya ada dana yang akan disalurkan untuk tujuan pemuliharaan.

   “Sekurang-kurangnya seni bina ini terjaga. Jika ia dibiarkan runtuh dan musnah, memang kita akan kehilangan selama-lamanya khazanah berharga ini kerana saya yakin ia tidak akan diwarisi dan tiada ganti,” katanya.

​

Sumber Media: Sinar Harian, 29 November 2016 (Selasa)

​

​

bottom of page