top of page

Keunikan Cina Kelantan

Oleh: Siti Rohana Idris
​
Asimilasi budaya Melayu tingkat semangat perpaduan.
​
KOTA BHARU: Jika dilihat pada penampilan wanita berkain sarung dan kebaya atau lelaki bersemutar yang ditambah dengan pertuturan pekat dialek Kelantan, masyarakat peranakan Cina hampir tidak ada bezanya dengan orang Melayu tempatan.

   

   Pergaulan yang tiada batas pemisah itu bukan sahaja boleh dilihat di kedai kopi dan majlis umum, bahkan tidak kekok bergotong-royong dalam persiapan sebarang keraian, sehingga seolah-olah tiada langsung jurang antara peranakan Cina atau dipanggil dalam bahasa pasar sebagai Cina kampung dengan Melayu kerana asimilasi sudah berlaku sejak ratusan tahun.

   Bukan sahaja dari segi penampilan dan pertuturan, asimilasi peranakan Cina turut mencakupi makanan, seni bina, kesenian dan aktiviti masa lapang sehingga tidak hairanlah ada yang menjadi tok dalang dalam seni wayang kulit, tok minduk dalam persembahan main puteri dan mahir dalam seni tarik selampit.

Semua khazanah budaya dan cara hidup itu didokumentasikan dalam buku Peranakan Cina Kelantan: Sintesis Cina Tanah Besar dan Melayu tulisan Zinitulniza Abdul Kadir yang dilancarkan di Hotel Renaissance di sini.

 

Papar kehidupan peranakan Cina Kelantan

​

   Buku setebal 163 halaman yang memaparkan kelangsungan hidup masyarakat peranakan Cina dan asimilasi dua budaya sejak lebih 300 tahun itu, dilancarkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan dihadiri hampir 1,000 masyarakat peranakan Cina yang tampil mengenakan pakaian tradisional Melayu antaranya baju kebaya nyonya dan berkain sarung.

   Zinitulniza berkata, beliau mengambil masa selama enam bulan berulang-alik ke Kelantan dengan memfokuskan Kampung Pasir Mas yang dikenal pasti sebagai penempatan kelompok peranakan Cina yang Besar.

   "Saya terpanggil mendokumentasikan khazanah peranakan Cina ini untuk memperlihatkan semangat muhibah antara kaum di negeri ini yang menjadi formula kepada perpaduan.

   "Amalan menghormati budaya masyarakat lain dilihat mulai pupus dan penghasilan buku ini diharap dapat mengangkat kembali jati diri asal dan mengekalkan peradaban," katanya.

   Sementara itu, Owi Boon Kim, 66, atau dipanggil dengan gelaran Hasyim, menetap di perkampungan yang majoritinya Melayu menjadikan beliau dan keluargannya sudah biasa dengan cara hidup Melayu.

   Boon Kim berkata, panggilan nama Melayu yang dimilikinya, isteri dan tujuh anak bukan sahaja digunakan ketika bergaul dengan masyarakat Melayu, bahkan ada kalanya digunakan dalam kalangan ahli keluarganya sendiri ketika berkomunikasi di rumah.

   "Dari segi makanan juga boleh dikatakan langsung tiada perbezaan antara kami dengan orang Melayu yang menyuap makanan dengan tangan, malah kami juga makan budu dan ulam serta ikan singgang.

   "Begitu juga jika ada majlis keraian, masing-masing akan saling berkunjung bukan hanya ketika majlis berlangsung tetapi juga ketika persediaan yang semua akan bergotong-royong memasak dan menyiapkan tempat," katanya yang berasal dari Bukit Kuang, Tanah Merah.

   Buku yang berharga RM150 senaskhah itu, turut mengandungi gambar berkaitan budaya masyarakat yang dapat menarik perhatian pembaca untuk menyelami denyut nadi kebudayaannya.

​

Sumber Media: Berita Harian 7 Disember 2016 (Rabu)

​

​

bottom of page